kenapa malaysia istimewa

In the name of Allah, the Most Gracious the Most Merciful..


1. Teh tarik – Apabila larutan teh bersama susu krim manis dan dicurah menggunakan kole pada kedudukan tinggi, maka terciptalah minuman rutin warga Malaysia yang dinikmati tidak kira waktu.
2. Songket – Fabrik tenunan tangan yang diserikan motif berbenang perak atau emas. Kekuatan nilai estetika dan identiti bangsa menjadikannya antara tekstil warisan yang elegan.
3. Taman Negara – Kekayaan khazanah alam dilindungi di banyak kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Masing-masing menyimpan tarikan ekosistem yang bernilai tambah.
4. Malaysia Airlines (MAS) – Syarikat penerbangan nasional utama dan banyak memenangi pengiktirafan dan anugerah antarabangsa.
5. Hari Raya Aidilfitri – Sambutan penting selepas sebulan umat Islam berpuasa, selain Hari Raya Aidiladha. Keraian ini merapatkan hubungan ahli keluarga dalam semangat ‘balik kampung’.
6. Menara Berkembar Petronas – Hingga kini, statusnya kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan ikonik ini umpama salam pengenalan Malaysia kepada dunia.
7. Nasi lemak – Hidangan warisan ini memerlukan beras ditanak dengan santan kelapa dan dihidangkan bersama sambal, bilis goreng dan telur.
8. Wau bulan – Permainan tradisional persis layang-layang yang terkenal di negeri Kelantan.
9. Genting Highlands – Resort pelancongan tertinggi di Malaysia iaitu pada aras 2,000 meter dari aras laut ini menawarkan penginapan, taman tema dan tema percutian kelas satu.
10. Rangkaian lebuh raya – Jaringan lebuh raya utama negara melancarkan perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.
11. Tahun Baru Cina – Perayaan besar bagi kaum Tionghua yang bercerita tentang kedatangan tahun baru. Sambutannya dimeriahkan dengan limau mandarin, pemberian ang pau, tarian singa dan bingit mercun.
12. Menara Kuala Lumpur – Menara telekomunikasi tertinggi yang terletak di Bukit Nenas di tengah-tengah ibu negara. Lokasi ini menyediakan pusat rekreasi, restoran berputar dan dek peninjau.
13. Pulau Langkawi – Pulau bebas cukai yang terletak di negeri Kedah ini terkenal dengan kisah Mahsuri dan pelbagai lagi tarikan buatan selain taman geologi berusia jutaan tahun.
14. Roti canai – Hidangan sarapan popular yang dimakan bersama kuah dal dan teh tarik.
15. Batik lukis – Seni tekstil indah hasil daripada teknik melukis, mencanting dan mewarna. Penggunaannya juga telah dipelbagaikan.
16. Proton – Pengeluar kereta nasional pertama ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai model berprestij telah menambat hati pemandu tempatan dan juga luar negara.
17. Pulau Tioman – Pernah tersenarai sebagai 10 pulau tercantik dunia dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan.
18. Masjid Negara – Menjadi lambang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan mampu menampung seramai 15,000 jemaah.
19. Litar Antarabangsa Sepang – Prasarana kelas dunia untuk perlumbaan Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan Formula Satu.
20. Deepavali – Festival cahaya yang disambut penuh adat oleh penganut Hindu. Ia jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi, kalendar Tamil.
21. Perak Man – Rangka tulang berusia 10,000-11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak. Penemuan fosil manusia era Paleolitik paling sempurna di Asia Tenggara itu melakar sejarah tersendiri.
22. Bandar Raya Melaka – Kota warisan sejarah yang sarat nilai pertembungan budaya Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.
23. Perodua – Syarikat pengeluar kereta nasional kedua dan ditubuhkan pada 1993.
24. Tasik Kenyir – Merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan terletak di Hulu Terengganu.
25. Orang Utan - Haiwan primat yang menjadi maskot negara ketika Sukan Komanwel 1998. Sebuah pusat pemeliharaan orang utan sering dikunjungi di Sepilok, Sabah.
26. Krismas – Keraian 25 Disember yang disambut secara berbeza oleh kaum Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.
27. Pulau Pinang – Selain Melaka, negeri ini turut melestari pelbagai nilai sejarah hebat Negeri Selat.
28. Vaisakhi – Diraikan penganut agama Sikh pada tarikh 14 April.
29. Muzium Negara – Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1963, berlokasi di Kuala Lumpur dan merupakan lokasi wajib bagi anak Malaysia untuk mengenali sejarah.
30. LIMA – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi dijayakan secara dwitahunan. Pameran berprestij itu mengumpulkan jentera udara dan maritim yang berkaitan komersial dan pertahanan.
31. Pulau Sipadan – Terletak berhampiran bandar Sampoerna, Sabah, ia adalah antara pulau terindah di dunia dan ibarat syurga buat komuniti penyelam skuba.
32. Homestay – Konsep inap desa yang berjaya melonjakkan industri pelancongan domestik. Masyarakat kampung didekati melalui acara seni, masakan dan gaya hidup.
33. Kereta Api Tanah Melayu – Nostalgia pengangkutan bijih timah kini menghubungkan penduduk di sepanjang laluan landasan 1,699km di seluruh negara.
34. Batu Caves – Formasi gua batu kapur semula jadi yang menjadi meriah terutamanya ketika penganut Hindu menyambut Thaipusam.
35. Gua Niah – Gua batu kapur terbesar di dunia iaitu seluas 12 hektar di Miri, Sarawak. Fosil manusia berusia 40,000 tahun pernah ditemui di situ.
36. Citrawarna 1M alaysia – Ibu negara disimbahi warna kebudayaan dari 14 buah negeri di seluruh negara pada setiap penghujung Mei.
37. Cendol – Hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada tepung beras dan dihidang bersama ais parut, santan dan gula melaka.
38. Putrajaya – Pada tahun 1999, Putrajaya telah menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dengan ciri-ciri bandar raya pintar.
39. Rumah panjang – Rumah tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Setiap rumah mengandungi sehingga 20 bilik dan diketuai oleh tuai rumah.
40. Gunung Kinabalu – Berketinggian 4,095 meter, ia adalah gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.
41. Piala Monsoon – Kejohanan kapal layar antarabangsa mengumpulkan jaguh-jaguh dunia di Pulau Duyung, Terengganu setiap musim tengkujuh.
42. Petaling Street – Bekas penempatan kaum Cina yang kini menjadi lokasi niaga gerai paling terkenal di tengah-tengah Kuala Lumpur.
43. Istana Negara – Tempat bersemayamnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang turut menjadi lokasi istiadat pertabalan dan upacara rasmi.
44. KLIA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor menjadi pintu masuk udara utama dengan akses jaringan kereta api elektrik dan lebuh raya canggih.
45. Pasar Seni – Turut dikenali sebagai Central Market, ia menjadi pusat yang mengumpulkan barangan seni, kraf dan cenderamata tempatan.
46. Le Tour de Langkawi – Kejohanan lumba basikal terbesar yang mengumpulkan para peserta dari seluruh dunia.
47. Raflesia – Selain bunga raya sebagai bunga kebangsaan, bunga eksotik terbesar di dunia ini sinonim dengan diversiti belantara Malaysia khususnya di Malaysia Timur.
48. Lemang – Diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasak di dalam buluh. Makanan ini popular dimakan bersama rendang.
49. AirAsia – Syarikat penerbangan nasional kedua dan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia.
50. Hari Gawai – Diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak sebagai meraikan musim menuai padi.
51. Wat Phothivihan – Patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia terletak di Tumpat, Kelantan.
52. Bangunan Sultan Abdul Samad – Sebuah bangunan warisan kebangsaan yang menjadi saksi kepada penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1957.
53. Hari Kebangsaan – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang wajib dihayati demi menyuntik semangat patriotisme dan kesetiaan pada negara.


 p/s : ambil dari akhbar kosmo.hanya menambah pengetahuan mengenai Malaysia.sebagai rakyat malaysia kita haruslah bersyukur atas segala yang kita ada di bumi Malaysia ini.I Love to be Malaysian

No comments: